KUALA LUMPUR: Siswa guru Institut Pendidikan Guru (IPG) dibenarkan mengikuti kuliah secara dalam talian menerusi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid selama empat hari sempena Deepavali.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata kemudahan itu disediakan bagi membolehkan siswa guru yang berjauhan daripada keluarga menyambut perayaan berkenaan tanpa mengabaikan komitmen pengajian.
Katanya, pelaksanaan PdP secara hibrid itu ditetapkan pada 9 hingga 12 November bagi Kumpulan A, manakala 10 hingga 13 November bagi Kumpulan B.
“Anak-anak yang belajar jauh dari rumah tentu mahu pulang menyambut Deepavali bersama keluarga.
“Saya memahami hasrat ini termasuk dalam kalangan siswa guru di IPG yang menuntut ilmu jauh dari kampung halaman.
“Justeru, sempena Deepavali tahun ini, Kementerian Pendidikan menyediakan kemudahan kuliah secara hibrid iaitu dari 9 hingga 12 November bagi Kumpulan A dan 10 hingga 13 November bagi Kumpulan B.
“Melalui kemudahan ini, siswa guru yang pulang meraikan Deepavali masih boleh mengikuti kuliah secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumpulan A membabitkan Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B merangkumi Perlis, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Sabah.
Fadhlina berkata, pihak IPG Kampus juga boleh memohon cuti tambahan dan cuti berganti sekiranya terdapat keperluan.
“Kita mahu memastikan pembelajaran terus berjalan dengan baik tanpa mengabaikan kepentingan masa bersama keluarga.
“Selamat menyambut Deepavali kepada seluruh siswa guru dan keluarga yang meraikannya,” katanya. -BH Online

