Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan terhadap sebarang aduan membabitkan kandungan berunsur judi dalam talian, menjelang kempen Piala Dunia 2026 Khamis ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata orang awam juga dinasihatkan membuat aduan kepada MCMC sekiranya ternampak pautan atau kandungan bersifat perjudian dalam talian.

“Seperti kita ketahui, judi dalam talian tidak dibenarkan dalam negara kita. Jadi sekiranya pihak MCMC menerima aduan tindakan boleh diambil.

“Kepada orang awam sekiranya anda melihat pautan atau kandungan yang bersifat judi dalam talian, sila panjangkan aduan kepada pihak MCMC untuk diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Meja Pelaporan Media Selamat dan Sesi Latihan Interaktif: Pelaporan Media Selamat dan Bertanggyngjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri, di sini, hari ini.

Fahmi berkata, tindakan sama juga boleh dikenakan terhadap portal judi dalam talian.

BH sebelum ini melaporkan, hadiah wang lumayan mencecah jutaan ringgit menjadi umpan utama sindiket pertaruhan antarabangsa dan bookie tempatan mengumpul wang pertaruhan daripada kaki judi untuk setiap perlawanan bola sepak Piala Dunia 2026 yang bakal bermula Khamis ini.

Laporan khas itu mendedahkan pertaruhan bukan lagi dibuat secara konvensional seperti sebelum ini, sebaliknya sejak edisi terdahulu, ejen bookie atau punter bergerak mengumpulkan wang daripada kaki judi melalui medium dalam talian dan berpuluh laman web berpangkalan di luar negara.

Berikutan itu, agensi penguat kuasa peringkat domestik dan antarabangsa memberi perhatian terhadap kemungkinan peningkatan aktiviti perjudian bola sepak haram yang semakin bergantung kepada platform digital, rangkaian kewangan rentas sempadan dan identiti palsu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.-BH Online