TOKYO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini, malam ini bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Jepun atas jemputan rakan sejawatannya, Perdana Menteri, Sanae Takaichi.
Pesawat khas yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda kira-kira jam 8.20 malam waktu tempatan (7.20 malam waktu Malaysia).
Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim serta delegasi dan pegawai kanan kerajaan.
Ketibaan Perdana Menteri disambut Naib Menteri Luar Parlimen Jepun, Tomoaki Shimada dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.
Yang turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany.
Sepanjang lawatan itu, Anwar dijadual menerima Sambutan Rasmi di Pejabat Perdana Menteri Jepun sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Takaichi bagi membincangkan kerjasama Malaysia-Jepun serta pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pemeteraian empat Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua Surat Hasrat (LoI) dalam bidang pertahanan dan keselamatan serantau, kesihatan, peralihan tenaga, alam sekitar serta pendidikan tinggi.
Selain menghadiri program rasmi kerajaan, Perdana Menteri turut dijadual menyampaikan syarahan khas di Universiti Tokyo bertajuk Humanity in a Human-Machine Civilisation dan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31 bertemakan Navigating Strategic Uncertainty.
Anwar juga akan mengadakan sesi meja bulat bersama tokoh perniagaan dan ketua industri Jepun serta pertemuan dengan beberapa syarikat utama negara itu dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia.
Lawatan rasmi sulung beliau ke Jepun sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022 itu berlangsung menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun pada tahun hadapan.
Jepun kekal antara rakan dagang dan pelabur utama Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala direkodkan sebanyak RM142.96 bilion pada 2025. – BH Online
