Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia masih berdepan cabaran serius menangani isu bunuh diri apabila 1,079 kes direkodkan sepanjang tahun lalu, meskipun menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan trend peningkatan kes bunuh diri sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebelum mencatat sedikit penurunan pada 2025.

“Sebanyak 981 kes direkodkan pada 2022 sebelum meningkat kepada 1,087 kes pada 2023 iaitu pertambahan 10.8 peratus.

“Pada 2024, angka itu terus meningkat kepada 1,114 kes iaitu kenaikan 2.48 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Walaupun jumlah kes menurun kepada 1,079 pada 2025, ia masih pada tahap membimbangkan dan terlalu tinggi,” katanya berucap pada sesi Persidangan Meja Bulat (RTD) Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Sesi interaksi Menteri Kesihatan dan Menteri Komunikasi bersama pengamal media itu mengetengahkan tema ‘Peranan Media dalam Pencegahan Tingkah Laku Bunuh Diri: Ubah Tanggapan, Bina Harapan’.

Turut diadakan Majlis Menandatangani Ikrar Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri. 

Hadir sama, Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF), Datuk Rafiq Razali.

Menurut Dr Dzulkefly, isu bunuh diri tidak boleh lagi dilihat sebagai masalah individu semata-mata, sebaliknya perlu ditangani sebagai isu masyarakat, negara dan kemanusiaan yang memerlukan pendekatan menyeluruh merentas kementerian serta sektor.

“Setiap kematian akibat bunuh diri memberi kesan mendalam kepada sekurang-kurangnya 135 individu lain yang rapat dengan mangsa termasuk ahli keluarga dan sahabat,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan akan terus memperkukuh usaha pencegahan menerusi Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan 2020-2026 yang menggariskan Strategi Lapan khusus bagi pencegahan bunuh diri.

“KKM melancarkan Program Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope (MySAVE) pada 2023 yang merangkumi aktiviti pencegahan, intervensi awal, rawatan serta sokongan berterusan kepada komuniti.

“KKM turut menyediakan Talian HEAL 15555 sebagai talian bantuan sokongan krisis yang dikendalikan secara profesional oleh pegawai psikologi berdaftar.

“Pada masa sama, Malaysia melakar sejarah apabila cubaan bunuh diri tidak lagi dianggap sebagai jenayah susulan pewartaan pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan pada 10 September 2025, mengubah pendekatan bersifat menghukum kepada lebih selamat, berempati dan berkesan melalui peranan Pegawai Intervensi Krisis di barisan hadapan,” katanya.-BH Online