Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Semua anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang bertugas di selatan Lubnan berada dalam keadaan selamat.

Ia susulan pelaksanaan gencatan senjata selama 10 hari antara Kerajaan Lubnan dan Israel yang mula berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata perkembangan itu dilihat sebagai langkah positif selepas ketegangan yang berlaku kebelakangan ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan keselamatan di lapangan masih tidak menentu susulan laporan beberapa insiden pelanggaran gencatan senjata di selatan Lubnan.

“Semua pihak perlu menghormati sepenuhnya perjanjian yang telah dipersetujui bagi mengelakkan ketegangan kembali memuncak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keutamaan kementerian sentiasa tertumpu kepada keselamatan anggota MALBATT yang melaksanakan tanggungjawab di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

“Setakat ini semua anggota MALBATT terus melaksanakan tugas selaras mandat diberikan, manakala Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama memantau rapat perkembangan situasi keselamatan semasa bersama UNIFIL dan pihak berkaitan.

Katanya, MALBATT kekal berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan serta memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara.

“Kementerian Pertahanan berharap gencatan senjata ini dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak dan menjadi asas kepada penyelesaian berkekalan melalui rundingan serta saluran diplomasi demi keamanan serantau,” katanya.-BH Online