KUALA LUMPUR, 17 April– Sebanyak 224 projek pembinaan fizikal bernilai RM9.55 bilion sedang dilaksanakan di Pahang tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, 123 projek berada pada fasa prapembinaan dengan nilai RM3.87 bilion, manakala 101 projek lagi dalam pembinaan melibatkan RM5.68 bilion.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang bagi mempercepat pelaksanaan projek serta memastikan isu berbangkit dapat diselesaikan dengan lebih berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama delegasi di KKR.
Pertemuan itu turut membincangkan pelaksanaan projek berteraskan rakyat khususnya melibatkan infrastruktur asas, kemudahan awam dan kesejahteraan masyarakat di negeri itu.
KKR kekal komited memastikan setiap projek dilaksanakan secara terancang, dipantau rapi serta disiapkan mengikut keutamaan demi manfaat rakyat.-Berita RTM
