Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PELABUHAN KLANG: Kerajaan bersetuju melengkapkan keperluan persenjataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), dengan perolehan akan dimulakan sebelum akhir tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat masing-masing dengan kementerian dan Jemaah Menteri telah bersetuju terhadap keperluan itu.

Katanya ia juga mengambil kira kes tembakan terhadap Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Mohd Nasaruddin Mohd Nasir pada Februari lalu.

“Keperluan persenjataan itu kita telah setujui cuma jenisnya sahaja… senjata ini banyak bentuk taser gun misalnya atau senjata ringan seperti pistol. Kedua-dua opsyen ini sedang diteliti Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri sesuai dengan arahan Jemaah Menteri, saya sampaikan kepada beliau untuk pelaksanaan.

“Dari segi fasa pelaksanaan, kita nak persiapkan mereka dengan yang mana dulu, sama ada taser gunatau pistol atau serentak. Ini akan diperhalusi oleh Ketua Setiausaha Kementerian,” katanya pada sidang media Program Pemurnian Al-Quran Kementerian Dalam Negeri di Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di sini hari ini. 

Saifuddin Nasution berkata perkara berkenaan tidak boleh dilengahkan lagi mengambil kira penugasan AKPS berisiko tinggi dan sebarang perkembangan mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata kerajaan bersedia menyokong keperluan AKPS termasuk dari segi persenjataan dan kelengkapan keselamatan bagi memastikan agensi itu dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Dalam kejadian 27 Februari lalu, Proton X70 dipandu Mohd Nasaruddin dilaporkan ditembak kira-kira jam 5.40 pagi di susur masuk berhampiran Masjid Muhajirin di Bukit Kayu Hitam, Kedah lebih kurang satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Mohd Nasaruddin yang dalam perjalanan menunaikan solat subuh terselamat.-BH Online