BARISAN Nasional (BN) mengumumkan Datuk Amizar Abu Adam sebagai calon yang bertanding untuk pilihan raya kecil (PRK) bagi dewan undangan negeri (DUN) Pelangai.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis pengumuman calon BN di Dewan Majlis Daerah Bentong, malam ini.
Untuk rekod, Amizar sebelum ini pernah bertanding di kerusi DUN Ketari pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.
PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Oktober ini ekoran kematian Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas berhampiran bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Oktober sebagai hari undi awal.
Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahmad. -Media Perpaduan