Sorting by

×

BARISAN Nasional (BN) akan memastikan kemaraan ‘Gelombang Hijau’ di negeri pantai timur terhenti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, 7 Oktober ini.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hanya kemenangan di PRK Pelangai yang dapat memulihkan semangat Umno selepas terjejas teruk pada pilihan raya di enam negeri, Ogos lalu.

“Pilihan raya kali ini penting kerana kita baru habis pilihan raya negeri.. kita semua tahu keputusannya macam mana.

“Pada kali ini selepas beberapa kerusi kita di DUN negeri Kelantan, Kedah, Terengganu hilang kepada Perikatan Nasional (PN) dan saya berharap di Pelangai ini, kita akan noktahkan pergerakan mereka untuk mara ke negeri Pahang,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran jentera BN untuk PRK Pelangai di Simpang Pelangai, dekat Bentong, hari ini.

Majlis Pelancaran jentera BN disempurnakan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mengulas kemenangan Kerajaan Perpaduan pada PRK Pulai dan Simpang Jeram pada 9 September lalu, Wan Rosdy berkata, situasi di Pelangai berbeza walaupun keputusan di dua PRK itu menunjukkan pengundi sudah beralih menyokong kerajaan.

“Saya sangat berterima kasih kerana rakan kongsi kita daripada Pakatan Harapan (PH) telah menunjukkan komitmen dan telah pun turun membantu kita.

“Begitu juga rakan daripada BN, MIC dan MCA telah melakukan kerja bagi membantu kita.

“Apa yang pentingnya sekarang ini majoriti ditinggalkan arwah (Johari Harun) kepada kita ialah 4,000 lebih, jadi untuk kita mengenang budi, kita perlu menghadiahkan kemenangan kepada arwah,” katanya.

PRK Pelangai diadakan berikutan kematian Johari dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-15, November lalu, Johari menang kerusi itu dengan majoriti 4,048 undi.

Beliau menewaskan calon PN, Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Sementara itu, Wan Rosdy mengingatkan semua ahli Umno Bentong untuk berlapang dada menerima keputusan pucuk pimpinan parti mengenai calon yang bertanding pada PRK berkenaan.

“Ahli Umno Bentong 95 peratus sudah baiah untuk sokong siapa saja calon untuk Pelangai, tapi ada seorang dualah yang tak puas hati, perkara seperti ini kita tak boleh elak.

“Cuma saya tak mahu dengar ada yang nak tutup bilik gerakan, tak nak bantu jentera dan sebagainya.

“Kita ini orang parti, siapa saja jadi calon kita akan tolong supaya menang,” katanya. -Media Perpaduan