SHAH ALAM: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil pada Sabtu merasmikan sambutan Hari Kurier Negara 2026 (HKN2026) di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor di sini.
Bertemakan “Memelihara Industri, Memperkukuh Kepercayaan”, sambutan anjuran Persatuan Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) dengan sokongan Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu mengiktiraf sumbangan industri tersebut yang bernilai RM6.9 bilion kepada ekonomi digital negara.
Sehubungan dengan itu, MCMC memaklumkan kerajaan terus komited memperkukuh industri pos dan kurier melalui pembaharuan kawal selia, kerjasama strategik dan transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, daya saing industri serta keselamatan pengguna.
“Dalam aspek pembaharuan kawal selia, kerajaan sedang meneliti cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 (Akta 741) serta merancang pewartaan Kaedah-kaedah Perkhidmatan Pos (Keselamatan Perkhidmatan Pos dan Barang Pos yang Dilarang) 2026 (PSR2026) tertakluk kepada proses kelulusan berkaitan.
“Langkah ini bertujuan untuk memperkukuh keselamatan, akauntabiliti industri dan perlindungan pengguna, seiring dengan perkembangan pesat e-dagang,” menurut MCMC menerusi kenyataan pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali, Pengerusi AMEC Ronald Tan, wakil agensi kerajaan dan pemain industri pos serta kurier.
Dalam pada itu, inisiatif Parcel Shield yang diterajui Postal Forum dengan sokongan MCMC turut dilancarkan pada HKN2026 dalam usaha menangani penipuan berkaitan penghantaran bungkusan.
“Inisiatif itu antara lain untuk menggalakkan perkongsian maklumat antara syarikat kurier dengan platform e-dagang serta penyebaran amaran penipuan bagi meningkatkan perlindungan dan keyakinan pengguna,” menurut kenyataan itu.
HKN2026 juga menyaksikan pemeteraian memorandum kolaborasi inisiatif Perkongsian Rangkaian Kurier, iaitu projek rintis penghantaran peringkat akhir (last-mile delivery) di lokasi terpilih.
“(Projek itu) akan menilai potensi pengoptimuman infrastruktur, pengurangan pertindihan operasi dan peningkatan akses perkhidmatan sebelum dipertimbangkan untuk diperluas,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, transformasi digital turut diperkukuh melalui pembangunan Sistem Pengalamatan Nasional (NAS) bagi meningkatkan ketepatan alamat dan kecekapan penghantaran serta PAKEJ Map yang memudahkan pengguna mencari lebih 47,000 lokasi perkhidmatan pos dan kurier di seluruh negara.
HKN2026 turut mengiktiraf sumbangan dan profesionalisme warga industri menerusi anugerah Pekerja Kurier Terbaik, Cabaran Pemanduan Selamat dan program MyCSP Courier Safety Passport dengan penekanan terhadap keselamatan dan kualiti perkhidmatan. — BERNAMA
