Sorting by

×

BARISAN Nasional (BN) mengharapkan kerjasama rakan dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kekal milik wakil rakyat kerajaan.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama rakan gabungan amat ditagih memandangkan BN telah memberi komitmen padu ketika berkempen membantu calon Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram yang lalu.

“Di sini saya mengharapkan agar rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan ini bekerjasama seperti mana BN berhempas pulas memastikan kemenangan untuk calon Pakatan Harapan (PH) di Pulai dan Simpang Jeram tempoh hari.

“Ia akan memperkukuhkan lagi kerjasama yang ada ini,” katanya ketika ditemui media di Bentong, semalam.

BN mempertaruhkan Datuk Amizar Abu Adam untuk mempertahankan DUN Pelangai pada PRK 7 Oktober depan.
PRK Pelangai akan diadakani ekoran kematian Datuk Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas berhampiran bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Oktober sebagai hari undi awal.

Seramai 16,456 pengundi berdaftar di Pelangai akan menjalankan tanggungjawab mereka pada 7 Oktober. -Media Perpaduan