Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penutupan jalan secara berperingkat sempena Sidang Kemuncak ASEAN turut dilaksanakan di beberapa laluan di Selangor khususnya ketika ketibaan dan keberangkatan pulang pemimpin dan delegasi.

Laluan akan ditutup secara berperingkat membabitkan dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke ibu negara dan laluan dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang ke ibu negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata penutupan laluan ini dilaksanakan mengikut masa ketibaan delegasi pada Ahad ini dan ketika keberangkatan pulang yang dijadualkan 28 Mei ini.

“Untuk pergerakan ketibaan delegasi menerusi KLIA, laluan akan ditutup secara berperingkat adalah dari Kompleks Bunga Raya menuju ke arah Lebuhraya KLIA Extension, Plaza Tol KLIA-Lebuhraya Elite, susur masuk Putrajaya, susur masuk Lebuhraya MEX dan Hentian Rehat & Rawat (RnR) Seri Kembangan, Lebuhraya MEX.

“Bagi laluan dari arah Pangkalan TUDM Subang, laluan yang terkesan adalah TUDM Subang-Jalan Monford-Lebuhraya GCE, Plaza Tol Shah Alam-Lebuhraya NKVE, susur keluar Kilometer 22 NKVE-Lebuhraya Utara Selatan dan sempadan Selangor-Kuala Lumpur (Kilometer 25.1 Pintu Gerbang),” katanya kepada media hari ini.

Hussein berkata, pihaknya menggesa semua pengguna jalan raya mengambil maklum berhubung penutupan dan lencongan laluan yang akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN.

“Laluan akan dibuka secara berperingkat apabila konvoi delegasi melepasi setiap susur laluan, namun tumpuan penutupan penuh adalah hanya di pusat bandar raya menghala ke tempat persidangan iaitu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Pengguna disaran merancang semula jadual perjalanan mereka bagi mengelak kesesakan,” katanya.-BH Online