Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Semua kementerian dan agensi kerajaan diarahkan menyemak semula Pelan Kesinambungan Perkhidmatan atau ‘Business Continuity Plan’ (BCP) masing-masing bagi memastikan fungsi kritikal kerajaan terus beroperasi sekiranya berlaku sebarang gangguan terhadap kemudahan penting negara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata langkah itu ialah antara usaha memperkukuhkan kesiapsiagaan keselamatan negara susulan ketidaktentuan global dan konflik kepentingan yang berpotensi mencetuskan pelbagai ancaman.

Beliau berkata, penilaian risiko keselamatan negara kini perlu mengambil kira ancaman bukan konvensional, termasuk serangan siber, sabotaj, penyebaran maklumat palsu, serta gangguan terhadap rantaian bekalan.

“Berdasarkan keadaan terkini pada peringkat global yang sedang berdepan ketidaktentuan serta konflik kepentingan, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menilai semua ancaman yang tidak lagi tertumpu kepada ancaman secara konvensional saja.

“Malah, perlu ada mekanisme pengukuhan terhadap ancaman siber, sabotaj, maklumat palsu dan gangguan kepada rantaian bekalan,” katanya dalam perkongsian melalui Facebook rasmi beliau, malam tadi.

Shamsul Azri berkata, semua kementerian turut diarah memperkukuhkan penyelarasan antara agensi, perkongsian maklumat, serta memperjelas peranan setiap pihak bagi memastikan tindakan dapat diambil dengan segera apabila berdepan sebarang ancaman.

“Keputusan juga dibuat supaya semua kementerian dan agensi kerajaan perlu menyemak semula BCP masing-masing supaya fungsi penting kerajaan dapat diteruskan sekiranya berlaku sebarang gangguan terhadap sistem komunikasi, tenaga, pengangkutan atau kemudahan kritikal,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu selaras kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen semalam berhubung kesiapsiagaan keselamatan negara.

Katanya, aspek kedaulatan dan keselamatan negara sama sekali tidak akan dikompromi, dengan kerajaan memberi perhatian serius terhadap semua risiko yang boleh menjejaskan keselamatan negara, kepentingan sektor strategik serta keselamatan rakyat.

“Keselamatan menyeluruh dari semua aspek diberi perhatian serius, dan setiap implikasi serta risiko terhadap keselamatan negara, kepentingan sektor strategik dan keselamatan rakyat menjadi keutamaan tertinggi kerajaan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat, memaklumkan bahawa kerajaan mengambil langkah proaktif memperkukuhkan kesiapsiagaan negara bagi menghadapi ancaman siber global dan ketegangan geopolitik antarabangsa yang semakin meningkat, termasuk memastikan bekalan makanan, air serta tenaga mencukupi.

Beliau dilaporkan berkata, mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membincangkan mekanisme sedia ada; memperketatkan penyelarasan antara kementerian, agensi dan pasukan keselamatan; serta memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Anwar turut memaklumkan bahawa beberapa negara luar termasuk Kesatuan Eropah (EU), Kanada dan Jepun sudah mengeluarkan arahan serta nasihat kepada warganegara masing-masing supaya menyimpan bekalan makanan asas untuk tempoh tiga hingga 10 hari.

Perdana Menteri dipetik berkata, krisis antarabangsa termasuk ketegangan konflik di Asia Barat, perkembangan krisis di Yaman dan Laut Merah, serta ancaman keselamatan di Eropah, berpotensi memberi implikasi langsung terhadap keselamatan rakyat, kestabilan ekonomi dan kepentingan negara. – BH Online