KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan terus memperkukuh pembangunan teknologi keselamatan siber negara bagi membendung risiko serangan, khususnya terhadap maklumat sensitif dan kepentingan strategik.
Menterinya, Datuk Chang Lih Kang, berkata langkah itu penting susulan peningkatan ancaman serangan siber bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Meskipun serangan siber tidak boleh dielakkan sepenuhnya, beliau berkata, usaha perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan maklumat penting negara tidak terdedah kepada ancaman berkenaan.
“Secara jujurnya, saya rasa kita tidak boleh mengelakkan serangan siber 100 peratus, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu memastikan perkara sensitif dan penting kepada negara tidak terdedah kepada risiko serangan siber,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Cradle LIVE! Summit 2026 di The Arch Gallery, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, MOSTI turut menumpukan kepada pembangunan penyelesaian keselamatan siber buatan tempatan menerusi pemerkasaan syarikat pemula yang aktif meneroka teknologi berkenaan.
Beliau berkata, perkembangan teknologi yang pesat menuntut syarikat tempatan sentiasa meningkatkan keupayaan, dan kepakaran masing-masing bagi memastikan negara lebih bersedia menghadapi ancaman serangan siber.
“Ancaman ini berubah setiap hari, sebab itu pembelajaran berterusan amat penting dan usaha meningkatkan keupayaan teknologi tidak boleh terhenti,” katanya.
Semalam, serangan siber dilaporkan berlaku di sebahagian negara Eropah menyebabkan sistem penyejukan di beberapa premis perniagaan terganggu sehingga makanan terpaksa dibuang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam menyatakan kerajaan akan memperkukuh tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ancaman keselamatan global, termasuk memastikan bekalan makanan, air dan tenaga negara mencukupi serta tidak terganggu. – BERNAMA
