KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneliti mekanisme untuk menyelamatkan syarikat dan pemulihan perniagaan, dengan merujuk kepada kerangka kerja seperti Chapter 11 di Amerika Syarikat (AS) sebagai langkah seterusnya dalam agenda reformasi insolvensi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata proses pembubaran syarikat yang terlalu awal sering mengakibatkan kehilangan pekerjaan, menjejaskan rantaian bekalan, serta menghapuskan nilai ekonomi, sedangkan ia sebenarnya masih boleh diselamatkan menerusi penstrukturan semula hutang.
“Sesebuah syarikat yang tidak mampu membayar hutangnya pada hari ini tidak semestinya tiada masa depan dari sudut ekonomi.
“Sesetengah perniagaan yang berdepan masalah kewangan mungkin masih memiliki produk bernilai, pekerja berpengalaman, pelanggan tetap serta aset produktif,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Pembaharuan Insolvensi Asia (FAIR) 2026, di sini, hari ini.
Azalina turut menggariskan lima keutamaan reformasi, iaitu menggalakkan campur tangan awal sebelum masalah kewangan tidak dapat dipulihkan; menyediakan mekanisme penstrukturan semula yang praktikal dari sudut komersial; melindungi hak pemiutang yang sah; mengekalkan pekerjaan dan aset produktif; serta memperkukuhkan keupayaan mahkamah dan institusi.
“Pemulihan korporat tidak seharusnya menjadi alasan untuk syarikat mengelak daripada tanggungjawab. Akauntabiliti mesti kekal sebagai prinsip utama dan hak pemiutang yang sah perlu dilindungi.
“Matlamat kita bukan semata-mata untuk menyelamatkan setiap syarikat tanpa mengira kos, sebaliknya membezakan antara perniagaan yang masih berdaya maju dengan perniagaan yang memerlukan penyelesaian secara teratur.
“Oleh itu, falsafah yang menjadi panduan kita: Selamatkan jika boleh. Susun semula jika berdaya maju. Selesaikan secara bertanggungjawab jika perlu,” tegasnya.
Ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama itu pula, Azalina berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Insolvensi Malaysia menilai kerangka yang sesuai untuk membantu perniagaan kecil yang berdepan bebanan hutang.
Beliau berkata, perusahaan komersial berskala kecil sering berdepan keadaan tidak berkembang akibat beban hutang meskipun memiliki aset yang bernilai.
“Bagi perniagaan kecil, ada kala mereka tidak menyedari bahawa mereka memiliki aset yang bernilai. Bagaimanapun, disebabkan beban hutang yang tinggi, aset terbabit tidak dapat dijual, sekali gus menghalang mereka daripada meneruskan operasi perniagaan.
“Perkara ini akan menjadi antara tumpuan pada tahun depan, dan saya telah mengarahkan jabatan supaya mengkaji perkara itu,” katanya. -BH Online
