KUALA LUMPUR: Seramai 28 keluarga mangsa tragedi banjir yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu, layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata PERKESO melakukan semakan terhadap 54 mangsa tragedi berkenaan dan daripada jumlah itu, 28 memenuhi syarat kelayakan.
“PERKESO sudah melakukan semakan dengan teliti bagi memastikan tiada waris yang berhak tercicir daripada menerima perlindungan sewajarnya.
“Justeru, pada hari ini, setiap keluarga yang layak akan menerima bayaran faedah berjumlah RM3,000 sebagai bantuan kewangan segera.
“Mereka juga layak mendapat faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan. Proses pembayaran akan dilaksanakan sebaik saja maklumat dan dokumen berkaitan dilengkapkan,” katanya pada Majlis Penyerahan Faedah PERKESO kepada waris mangsa tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Banjir kilat dan tanah runtuh dahsyat di Nepal pada 26 Ogos lalu menyebabkan 55 rakyat Malaysia dilaporkan gagal dihubungi.
Tragedi itu berpunca daripada runtuhan gunung glasier dan sisa batuan (ice and rock avalanche) di kawasan tanah tinggi sepanjang sempadan Nepal-China.
Runtuhan berkenaan mencetuskan banjir seumpama tsunami yang memusnahkan kawasan penempatan di sepanjang Sungai Lende Khola dan Sungai Trishuli, terutamanya di Daerah Rasuwa, Nepal.
Mengenai majlis hari ini, Ramanan berkata, hanya 16 keluarga hadir untuk menerima faedah berkenaan dan selebihnya akan diberikan secara berperingkat.
Katanya, jumlah faedah keseluruhan untuk 28 keluarga berkenaan ialah RM174,000.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, PERKESO akan meneruskan usaha untuk mengesan serta melengkapkan maklumat waris yang layak di seluruh Malaysia.
“Sehubungan itu, saya minta waris yang belum dihubungi supaya tampil ke pejabat PERKESO yang berhampiran. Inisiatif ini membuktikan sistem perlindungan sosial negara bersifat responsif dan proaktif, bukan sahaja dalam keadaan biasa, malah ketika rakyat ditimpa musibah,” katanya.
Menurutnya, bagi mangsa yang tidak mempunyai rekod caruman, PERKESO akan tetap membantu dengan menyalurkan maklumat mereka kepada 990 rakan strategik termasuk 130 agensi berkaitan melalui Program Social Synergy.
“Inilah sebabnya saya percaya perlindungan keselamatan sosial bukan sekadar kemudahan, tetapi ia keadilan sosial yang menjadi hak asasi setiap pekerja, tanpa mengira sektor, jenis pekerjaan, status atau siapa majikannya,” katanya. -BH Online
