KUALA LUMPUR: Penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026 berdepan risiko tidak mendapat kelulusan apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan acara itu tidak akan diluluskan selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya.
Pendirian tegas itu susulan penularan tangkap layar pengumuman sebuah syarikat minuman beralkohol sebagai rakan rasmi bir bagi acara berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 13 Disember ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, permohonan penganjuran acara itu masih dalam proses dan belum mendapat kelulusan KBS.
“Pendirian KBS di dalam hal ini adalah tegas: KBS tidak akan meluluskan penganjuran acara ini selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya.
“Ini termasuk pengeluaran semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan daripada semua saluran rasmi acara dan venue pertandingan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketegasan itu selaras dengan Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat Edisi Ketiga 2024 yang melarang syarikat berkaitan produk tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol daripada menaja, mempromosi atau mengiklankan produk mereka dalam aktiviti sukan yang diluluskan atau disokong KBS serta agensinya.
KBS turut menjelaskan semua permohonan lesen penganjuran acara sukan mewajibkan pihak penganjur mengisytiharkan komitmen untuk mematuhi Kod Sukan Selamat.
Dalam masa sama, kementerian mengingatkan bahawa Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] menetapkan syarikat tidak boleh terbabit dalam sebarang aktiviti sukan melainkan dilesenkan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
Sebarang pelanggaran peruntukan itu boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM500,000, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali. -BH Online
