PASIR MAS: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersedia melaksanakan operasi pembenihan awan, sekiranya paras air empangan di Kedah merosot ke tahap kritikal susulan kemungkinan berlaku cuaca kering berpanjangan, akibat fenomena Super El Nino.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ketika ini paras air di Empangan Pedu, antara tiga empangan utama di Kedah, masih berada pada tahap baik, namun pemantauan berterusan perlu dilakukan bagi memastikan bekalan air untuk sektor pertanian mencukupi.
Beliau berkata operasi pembenihan awan boleh dilaksanakan, sekiranya terdapat pembentukan awan yang sesuai bagi merangsang hujan, terutama jika keadaan cuaca kering berlarutan.
“Pembenihan awan ini kita buat beberapa kali. Kalau tidak ada langsung awan, ia tidak menjadi hujan. Ia perlu ada sedikit awan sebelum kita melakukan pembenihan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi di Bendang Belukar, di sini, hari ini.
Mohamad berkata KPKM akan bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, bagi meneliti keperluan operasi berkenaan serta memastikan persediaan menghadapi kemungkinan kekurangan air dapat dilaksanakan lebih awal.
Beliau berkata sekiranya keadaan mencapai tahap kecemasan, bekalan air mungkin perlu diutamakan untuk kegunaan domestik, manakala aktiviti pengairan sawah berkemungkinan ditangguhkan sementara.
Sehubungan dengan itu, pesawah dan penanam sayur turut diberikan taklimat awal supaya mengambil langkah persediaan, menghadapi kemungkinan cuaca kering yang boleh menjejaskan aktiviti pertanian.
Sementara itu, Mohamad mengarahkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperbanyak stok ikan, bagi memastikan bekalan makanan itu mencukupi sekiranya fenomena Super El Nino menjejaskan aktiviti perikanan negara.
Beliau berkata peningkatan suhu sehingga 40 darjah Celsius berpotensi memberi kesan kepada aktiviti penangkapan ikan, khususnya dalam kalangan nelayan pantai yang beroperasi dalam lingkungan lima kilometer dari daratan.
Mohamad berkata keadaan cuaca panas boleh menyebabkan ikan bergerak lebih jauh ke tengah laut, sekali gus menyukarkan operasi penangkapan ikan oleh nelayan di kawasan berhampiran pantai.
“Persiapan kita antaranya sekarang ini stok ikan kita perbanyakkan. LKIM telah diarahkan oleh kementerian supaya membina stok ikan untuk rakyat supaya kalau berlaku kekurangan, kita boleh mengeluarkan bekalan ikan yang disimpan dalam bentuk ikan sejuk beku,” katanya.
Mohamad berkata langkah itu merupakan antara persediaan awal kerajaan bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan makanan, sekiranya perubahan cuaca memberi kesan kepada sektor perikanan.
Beliau berkata kerajaan akan terus memantau keadaan bekalan makanan negara dan mengambil langkah bersesuaian, bagi memastikan keperluan rakyat terus dipenuhi sekiranya berlaku kekurangan bekalan.
Pada 27 Okt, media melaporkan Malaysia berpotensi mengalami cuaca lebih panas dan kering pada penghujung Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027, khususnya antara penghujung Januari hingga Mac tahun depan, susulan jangkaan fenomena Super El Nino yang boleh mengurangkan taburan hujan.
Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Makrun Fadzli Mohd Fahmi dilapor berkata keadaan itu, berpotensi meningkatkan risiko gelombang haba dan kemarau terutama apabila taburan hujan berkurangan dalam tempoh berkenaan.– BERNAMA
