Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Malaysia menerima bantuan pertahanan daripada beberapa negara sahabat, termasuk Jepun, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman bagi memperkukuh keupayaan ketenteraan negara serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerjasama berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan keupayaan Malaysia mempertahankan negara, malah membolehkan negara memainkan peranan lebih besar dalam memastikan kestabilan rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik.

“Jepun misalnya, kita menjelaskan bahawa berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), terdapat dua syarat untuk menentukan hak sesebuah negara terhadap kawasan maritim.

“Pertama, kesedaran domain maritim, iaitu mengetahui apa yang terdapat di kawasan berkenaan. Kedua, kehadiran di kawasan (show of presence) menerusi operasi rondaan sama ada secara bersendirian atau bersama tentera laut, tentera udara atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian pada sidang media selepas merasmikan penyerahan projek Program Jiwa Murni Madani Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Telok Mas, di sini, hari ini. 

Mohammed Khaled berkata, Malaysia masih mempunyai jurang dalam aspek keupayaan maritim dan bantuan Jepun antara lain bertujuan memperkukuh kemampuan negara dalam memantau kawasan perairannya.

Sebelum ini, sistem antidron yang bakal diterima daripada Jepun dilaporkan akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk Sepanggar dan Labuan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Jerman turut menyalurkan bantuan sebanyak 5 juta euro (kira-kira RM22.83 juta) bagi pembangunan pusat latihan tempur Tentera Darat di Kem PULADA, Johor.

Selain itu, katanya, Amerika Syarikat (AS) antara negara yang menyalurkan bantuan terbesar, diikuti Australia dan Jepun pada tahun ini.

“Kerjasama ini penting bagi membangunkan keupayaan pertahanan negara supaya kita mampu menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau ini. 

“Sebab itu, diplomasi pertahanan menjadi antara elemen penting dalam hubungan Malaysia dengan negara lain,” katanya.

Sebelum ini, Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakar sejarah baharu apabila pesawat tempur ringan FA-50M Block 20 buatan Korea Selatan tiba di Pangkalan Udara Labuan, baru-baru ini.

Pesawat tempur ringan FA-50M Block 20 dirancang untuk ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan dan sebahagiannya di Labuan bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohammed Khaled yang menyaksikan majlis penghantaran itu, berkata perolehan bernilai hampir RM4 bilion itu menandakan penerimaan kumpulan pertama daripada keseluruhan 18 pesawat FA-50M yang diperoleh Malaysia daripada Korea Aerospace Industries (KAI). -BH Online