Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM805.2 juta atau 67.8 peratus daripada perbelanjaan pembangunan (DE) Kementerian Ekonomi di bawah Belanjawan 2027 diperuntukkan kepada enam negeri kurang membangun bagi merapatkan jurang pembangunan antara negeri dan wilayah.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan kementerian untuk merapatkan jurang pembangunan, selain merangsang peluang ekonomi dan memastikan pertumbuhan lebih seimbang.

Enam negeri dikategorikan negeri kurang membangun ialah Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu.null

Pada masa sama, kementerian turut memberikan perhatian khusus kepada pendekatan berpusatkan rakyat dengan memperuntukkan RM813.8 juta atau 38.4 peratus daripada DE bagi program dan projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur komuniti, peluang peningkatan pendapatan, pembangunan modal insan dan keusahawanan, selain soal peluang perniagaan serta mobiliti ekonomi kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas peruntukan keseluruhan kementerian, Akmal Nasrullah berkata sebanyak RM645.44 juta disediakan bagi perbelanjaan mengurus (OE), manakala RM2.12 bilion diperuntukkan bagi DE di bawah Belanjawan 2027.

Katanya, peruntukan DE itu meningkat 11.9 peratus berbanding 2026 dan membabitkan 131 projek, terdiri daripada 41 projek baharu serta 90 projek sambungan.

Sementara itu, 41 projek dilaksanakan di empat Wilayah Koridor Ekonomi merangkumi lima projek baharu dan 36 projek sambungan.

Daripada jumlah itu, 18 projek bernilai RM193.6 juta dilaksanakan di bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), manakala 13 projek bernilai RM214.8 juta di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Selain itu, enam projek bernilai RM201 juta dilaksanakan di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), manakala empat projek bernilai RM170.4 juta di bawah Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA). -BH Online