Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membekukan lebih 150 akaun dipercayai milik keldai akaun sindiket perjudian secara dalam talian dan penipuan siber di Pulau Pinang membabitkan wang melebihi RM32 juta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata tindakan itu hasil operasi berterusan seperti Ops Dadu dilaksanakan polis bagi menumpaskan sindiket perjudian dan penipuan dalam talian.

“Berdasarkan rekod statistik PDRM, sebanyak 2,337 aduan berkaitan aktiviti perjudian dan promosi perjudian dalam talian direkodkan sepanjang 2023 dengan 2,681 tangkapan dilakukan serta 1,390 pertuduhan dikemukakan di mahkamah.

“Sebanyak 1,510 kes direkod membabitkan 1,810 tangkapan dan 1,084 pertuduhan pada tahun lalu,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Joseph Ng Soon Siang (DAP-Air Itam) mengenai statistik aduan, tangkapan, tindakan, pendakwaan dan hukuman dikenakan terhadap kegiatan promosi serta perjudian dalam talian di negeri ini.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Mac lalu, sebanyak 485 kes berkaitan perjudian dalam talian dan promosi perjudian direkodkan, membabitkan 542 tangkapan dan 255 pertuduhan.

Katanya, kerajaan negeri komited bekerjasama dengan semua agensi penguat kuasa bagi memastikan kegiatan haram seperti ini dapat dibanteras secara menyeluruh demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat di negeri ini.-BH Online