Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyerahkan dokumen berkaitan projek MyKiosk yang mendapat perhatian pelbagai pihak kerana didakwa harga mahal kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

KPKT dalam kenyataan berkata penyerahan dokumen secara sukarela itu sebagai tanda komitmen kementerian dalam memastikan ketelusan serta integriti projek itu. 

“Hari ini (semalam), KPKT yang diwakili oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dan pasukan KPKT tampil secara sukarela memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menyerahkan dokumen berkenaan inisiatif MyKiosk meskipun belum menerima permintaan daripada SPRM. 

“Ini membuktikan komitmen tinggi KPKT dalam memperkukuhkan sistem pengurusan dan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik selain KPKT juga ingin memastikan tiada elemen salah guna kuasa atau penyelewengan yang terbabit dalam pelaksanaan program MyKiosk yang bertujuan untuk memanfaatkan penjaja kecil,” katanya. 

KPKT berkata, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan semua inisiatif dan program kerajaan dilaksanakan dengan penuh integriti. 

“Dengan menyerahkan dokumen ini kepada pihak SPRM, kami berharap dapat memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa setiap urusan dan pelaksanaan program adalah telus dan mengikut prosedur yang betul. 

“Pihak kementerian berharap supaya langkah ini dapat memberikan gambaran jelas kepada rakyat bahawa kerajaan sentiasa berusaha mempertingkatkan integriti dalam segala aspek pentadbiran dan perkhidmatan awam,” katanya. 

Semlam Pemuda MCA Selangor membuat laporan kepada SPRM menggesa siasatan projek MyKiosk kendalian KPKT itu.

Ketuanya, Tan Jie Sen, mendakwa hanya sebahagian kiosk beroperasi walaupun projek membabitkan kos besar. 

KPKT berkata semua peruntukan berkaitan projek MyKiosk disenaraikan dalam Inisiatif Belanjawan dan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan mengikut prosedur yang ditetapkan. 

Perolehan serta pelantikan kontraktor bagi projek berkenaan dilaksanakan oleh 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui sebut harga terbuka. 

Jelasnya, hasil daripada proses tender terbabit, sebanyak 795 kontraktor dilantik oleh PBT di seluruh negara. 

“Kos siling bagi MyKiosk 2.0 adalah RM25,000. Harga bagi setiap unit kiosk adalah munasabah dan membolehkan kontraktor bersaing secara adil melalui proses sebut harga yang telus dan terbuka di peringkat PBT masing-masing,” kata kenyataan itu.-BH Online