Terengganu dan Kelantan adalah kubu kuat Pas. Namun malam tadi, ribuan rakyat negeri Terengganu menyertai Jelajah Madani yang diadakan di Kuala Terengganu menjelang beberapa hari sahaja pilihan raya enam negeri Sabtu ini.
Ia memberikan keyakinan kepada pemimpin Kerajaan Perpaduan bahawa ia adalah isyarat perubahan yang hendak dibuat oleh rakyat Terengganu sesuai dengan teori pendulum yang menjadi realiti politik di negeri itu.
Pada PRU 1999, Pas menang bergaya di Terengganu dengan bantuan isu mata lebam Anwar Ibrahim. Namun pada 2004 BN berjaya mengambilalih semula kerajaan negeri penyeu bertelur itu.
Selepas itu pada 2018 Pas menang semula di negeri itu. Kali ini Pas mahu mempertahankannya manakala BN dengan sokongan PH akan cuba merampasnya kembali.
Perasaan ini turut dikongsi oleh Presiden Amanah yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
“Alhamdulillah ribuan rakyat Terengganu hadir bagi menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan. Kebangkitan rakyat Terengganu kali ini amat jelas dan ia adalah isyarat kepada perubahan yang dimahukan.
“Saya berkeyakinan penuh, rakyat Terengganu mampu untuk melakukan perubahan kali ini. Rakyat Terengganu perlu berani membuat perubahan memilih kerajaan negeri yang lebih baik selepas 12 Ogos nanti,” tulis beliau menerusi Facebooknya pagi ini.
Mohamad yakin Kerajaan Perpaduan dapat dibentuk di negeri Terengganu ini.
Bagi beliau kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah aset utama ke arah itu bagi mempastikan Malaysia gah semula di persada dunia khasnya di Asia Tenggara.
“Dengan kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk kembali menjadi negara yang disegani di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Malam tadi Mohamad dan pimpinan parti-parti Kerajaan Perpaduan hadir pada Jelajah Perpaduan Madani Negeri Terengganu di Tapak Letak Kereta, PPR Hiliran, Kuala Terengganu.
Suasana malam tadi berlaku ketika Pas membuat kempen untuk menang 32 – 0 di Terengganu.