Kempen memburukkan kerajaan dengan menggunakan fitnah kononnya harga barangan naik mendadak tidak boleh dibiarkan kerana ia akan meresahkan masyarakat dan mengganggu ketenteraman awam.
Sehubungan itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub diminta menyiasat fitnah terancam ini.
“Salahuddin dan KPDN, sila ambil perhatian. Anda sedang difitnah,” tulis seorang netizen menerusi akaun Facebook beliau sambil meletakkan mesej dan gambar fitnah mengenai harga barang itu.
Ia dipercayai sebagai satu modus operandi untuk berkempen bagi memburukkan kerajaan menjelang pilihan raya di enam negeri ini.
Maklumat palsu ini disebarkan oleh kumpulan tertentu dalam banyak sekali akaun media sosial kononnya harga sardin naik mendadak.
Yang menariknya, dengan menggunakan gambar dan teks yang sama, ia disebarkan merata-rata melalui akaun media sosial yang berbeza.
“Bulan lepas rm10.80.., Hari ni rm13.30. Nak bagitahu tu ja…ok bai,” bunyi teks yang disebarkan dengan gambar satu tin sardin (gambar atas).
Ayat dengan gambar yang sama disebarkan secara terancang di dalam berpuluh-puluh akaun media sosial yang lain menjadikan ia dipercayai sebagai benar.
Namun, apabila disemak oleh netizen, didapati maklumat itu fitnah semata-mata kerana sardin dengan brand yang sama dijual dengan harga yang jauh lebih murah dari yang dinyatakan.
“Tanpa beritahu lokasi beli, tanpa tarikh dan masa beli, buat posting sebegini.
“Janganlah. Jagalah keharmonian masyarakat. Usah timbulkan keresahan,” kata Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi mengulas posting fitnah itu.
“20 Julai, jam 4.09 pm di Home Mart, Sardin cap ayam RM9.90. Mackerel cap ayam RM10.40 sahaja. Tin besar yer!”
“Di Speed Mart, RM9.40 sahaja. 20 Julai jam 4.31 pm,” tulis Zolkarnain menjawab fitnah itu dalam kumpulan Facebook yang sama.
Zolkarnain menyiarkan bukti harga sebagaimana yang diletakkan oleh kedai berkenaan.
Beliau juga menjawab sebaran oleh individu lain dalam kumpulan Facebook berkenaan yang menyebarkan maklumat palsu tanpa bukti itu.