Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil telah mengarahkan pembatalan serta merta Festival Good Vibes 2023 susulan aksi dan kenyataan biadab oleh salah seorang artis kumpulan British The 1975.

“Ingin saya tegaskan, pendirian Kerajaan Perpaduan amat jelas.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.

“Justeru, saya telah mengarahkan PEMBATALAN SERTA MERTA baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung hari ini sehingga esok, 23 Julai.”

Penyanyi utama kumpulan 1975, Matty Healy telah bertindak mencium rakannya Ross McDonald di atas pentas semasa persembahan semalam.

Healy juga mengkritik pendirian Malaysia terhadap LGBT.

Dalam pada itu Fahmi turut meminta penganjur untuk memberikan ganti rugi kepada pembeli tiket konsert tersebut.

“Saya faham keputusan ini akan memberi implikasi kepada penonton yang telah membeli tiket. Sehubungan itu, saya juga telah menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket.”

Fahmi turut mengingatkan penggiat seni dan kreatif bahawa kerajaan menyokong pembangunan industri tersebut tetapi pemain industri tidak boleh melakukan perkara yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan.

“Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara. Walau bagaimanapun, jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan.

Dalam perkembangan terbaru, kumpulan The 1975 telah disenaraihitamkan daripada membuat sebarang persembahan di Malaysia menerusi Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).