Sorting by

×

Projek pemulihan bekalan air, penyelenggaraan lif serta kerosakan kritikal lain di perumahan anggota Angkatan Tentera (ATM) akan segera dilaksanakan menerusi peruntukan tambahan RM200 juta diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Menteri Pertahanan Dato’ Seri Mohamad Hasan berkata melalui peruntukan itu, RM110 juta akan disalurkan bagi membaik pulih dan menyelenggara bangunan uzur serta rumah anggota tentera darat di seluruh negara, manakala masing-masing RM30 juta bagi tentera laut, tentera udara dan Markas ATM.

“Ini adalah keprihatinan daripada perdana menteri yang mengumumkan peruntukan tambahan kepada warga ATM.

“Daripada lawatan turun padang saya ke markas-markas serta perumahan warga ATM sebelum ini, memang ia tidak dalam keadaan memuaskan dari segi keperluan asasnya seperti masalah bekalan air, kebocoran dan lain-lain. Ini akan kita segerakan,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan RM200 juta bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah anggota ATM di seluruh negara.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta untuk menyelenggara kemudahan agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) antaranya polis.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan lebih RM500 juta bagi menyelenggara Rumah Keluarga ATM dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi bawah KDN termasuk polis.

Mohamad berkata, kebajikan dan keselesaan warga ATM termasuk veteran sentiasa menjadi keutamaan kementerian itu.