Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM10.8 juta untuk kerja naik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur awam di Taiping dan dua Kampung Baru Cina, iaitu di daerah Larut Matang dan Selama.

Beliau membuat pengumuman tersebut ketika Program Sentuhan Kasih KPKT hari ini.

Dari jumlah tersebut, RM1.32 juta diperuntukan untuk kerja menaik taraf banglo/rumah rehat di Bukit Larut dan Dataran Warisan

RM4.159 diperuntukkan untuk kerja menaiktaraf infrastruktur dan kemudahan awam di bahagian Kampung Baru Cina.

“Jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) bagi seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Perak yang telah diluluskan sehingga Julai 2023 adalah berjumlah RM51.5 juta,” kata Nga.

“Kerajaan Persekutuan yakin ‘sentuhan kasih KPKT’ yang telah diberikan adalah berdasarkan keperluan menerusi inisiatif KPKT dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk Perak.

“Ia merupakan “performance-based budget” atau peruntukan berlandaskan pelaksanaan bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan,” tambahnya lagi.

Beliau turut menghadiri Majlis Pecah Tanah Program Rumah MADANI Rakyat di Aulong, Perak.

Program tersebut menggunakan peruntukan kementerian dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi pelaksana.

Rumah MADANI Rakyat dibina pada keluasan 660 kaki persegi merangkumi 3 bilik tidur dan 2 bilik air. SPNB memberi kemudahan kewangan maksimum RM70,000 seunit.

“Program Bina Baharu Rumah Kampung Baru, Rumah MADANI Rakyat ini diwujudkan untuk meningkatkan kualiti kehidupan keluarga luar bandar serta membina rumah
kediaman yang lebih selamat dan selesa sebagai asas pertumbuhan sesebuah keluarga.

“Oleh itu, pembinaan Rumah MADANI Rakyat ini merupakan antara 22 unit rumah yang bakal dibina di Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Selangor.

“Daripada jumlah tersebut, negeri Perak mempunyai penerima paling tinggi iaitu sebanyak 12 buah unit,” kata Nga.