Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub 62, telah meninggal dunia.

Perkara ini telah disahkan oleh anaknya Fatihah Salahuddin menerusi hantaran Facebook.

“Dukacita dimaklumkan, ketua keluarga kami Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada 9.23 malam 23 Julai 2023,” tulisnya.

Allahyarham telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah kelmarin setelah muntah dan mual. Semalam beliau disahkan mengalami pendarahan otak dan menjalani pembedahan. Seusai pembedahan beliau dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Pagi tadi Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menyatakan bahawa keadaan beliau serius tetapi stabil.

Beliau merupakan timbalan presiden Amanah dan Ahli Parlimen Pulai. Beliau juga ADUN Simpang Jeram di Johor.

Selain itu beliau juga pengerusi Pakatan Harapan Johor.

Dalam perkembangan berkaitan, setiausaha akhbar beliau, Syakirin Husnal turut mengesahkan kematian beliau.

“Jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat, (Kopi Tenggara), Tanjung Piai.”

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Salahuddin sebagai satu kehilangan besar kepada diri dan keluarganya menerusi ciapan Twitter.

“Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga, dan saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat.

“Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi.

“Beliau dikenali kerana punyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan atau lawan. Sosok yang amat kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.”