Sorting by

×

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimamkan sendiri solat jenazah menteri beliau Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia malam tadi.

Anwar mengimamkan solat jenazah itu di Masjid Noh Gadot, Pontian sebelum jenazah dikebumikan pagi ini.

Anwar tiba di masjid jam 11 pagi dan masuk ke ruang masjid. Beliau sempat menyaksikan wajah Salahuddin buat kali terakhir sebelum mengimamkan solat itu.

Turut berada di masjid adalah Presiden AMANAH yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusof dan lain-lain.

Selepas mengimamkan solat, Anwar turut sama mengusung keranda jenazah untuk di bawa ke luar masjid dan seterusnya ke tanah perkuburan.

PM Anwar turut sama mengusung jenazah Salahuddin selepas mengimamkan solat jenazah.

Salahuddin yang kini dikenali sebagai Bapa Rahmah menghembuskan nafasnya yang terakhir jam 9.23 malam tadi di Hospital Sultanah Bahiyaah, Alor Setar.

Kelmarin, Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan sekitar jam 10.15 malam untuk rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah.

Doktor pakar kemudiannya mengesahkan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu mengalami pendarahan otak.