Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ḥarakat al-Muqāwamah al-Islāmiyyah (HAMAS) dalam ucapan takziah di atas kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub menyatakan bahawa allahyarham negarawan tersohor yang juga rakan sejati Palestin.

Hamas menerusi ketua pejabat perhubungan Arab dan Islam, Dr Khalil al-Hayya turut merakamkan penghargaan beliau di atas pendirian allahyarham dalam memperjuangkan hak kebebasan rakyat Palestin yang tertindas.

“Salahuddin bukan sahaja seorang negarawan tersohor dan menteri tetapi juga seorang rakan Palestin. Dalam kita meratapi kehilangan seorang negarawan dan rakan sejati Palestin, marilah bersama menghargai hidup dan legasi beliau.

“Sokongan tidak berbelah bagi beliau untuk rakyat Palestin dan hak mereka untuk kebebasan sangat terpuji dan dihargai telah meninggalkan kesan di hati rakyat Palestin dan Malaysia.

“Kempen beliau untuk hak golongan tertindas membuktikan sifat dan dedikasinya sebagai seorang pemimpin.”

Salahuddin, 61 meninggal dunia semalam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah setelah mengalami pendarahan otak.

Pagi ini, allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong, Serkat di Pontian, Johor.