Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2.1 bilion atau 99.4 peratus daripada RM2.22 bilion levi yang dikutip HRD Corp diluluskan sebagai bantuan kewangan bagi membiayai program latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula pekerja di negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata bagi menyokong pemerkasaan teknologi, kementerian melalui HRD Corp turut menyediakan pembiayaan latihan dalam sembilan bidang tumpuan merangkumi teknologi kewangan, rantaian blok dan teknologi hijau.

“Bidang ini dibangunkan bagi memastikan tenaga kerja tempatan sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Manusia di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab persoalan dikemukakan Ahli Parlimen terhadap sistem baharu pengambilan pekerja asing yang dikenali sebagai The Universal Recruitment Advanced Platform (TURAP), Khairul Firdaus berkata, ia berpotensi mengurangkan kos pengambilan pekerja dan menangani pembabitan ejen haram.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan platform itu masih diteliti bersama agensi berkaitan bagi memperincikan spesifikasi, skop dan aspek teknikal sebelum ia dapat dilaksanakan.

“Keputusan ini mengambil masa kerana kita mahu memastikan setiap perkara yang ditetapkan benar-benar teliti dan tidak menjadi pertikaian kemudian hari.

“Ini adalah salah satu pendekatan yang diharapkan dapat memudahkan masyarakat, selain memastikan kos pengambilan pekerja dapat dikurangkan secara drastik,” katanya.

Khairul Firdaus berkata, sistem itu akan beroperasi menerusi kerjasama dengan negara sumber tanpa mengganggu ekosistem pra pengambilan dan pasca pengambilan pekerja, termasuk dasar, proses serta perundangan di negara sumber dan Malaysia.

“TURAP juga tidak akan mengambil alih peranan mana-mana pihak berkepentingan dalam aktiviti perekrutan, khususnya agensi pekerjaan swasta di negara ini,” katanya.

Menyentuh berhubung pemerkasaan TVET dalam kalangan masyarakat Orang Asli, Khairul Firdaus berkata hampir 5,700 individu Orang Asli memperoleh persijilan menerusi program TVET dari 2021 hingga 2026.

Katanya, inisiatif TVET mudah alih menerusi program ‘You Can TVET’ menyasarkan seramai 3,600 Orang Asli untuk mengikuti latihan pada tahun hadapan bagi memastikan golongan di kawasan pedalaman mendapat akses kepada program berkenaan.

“Jabatan Tenaga Manusia (JTM) melalui pendekatan baharunya mahu memastikan pelaksanaan program di lapangan dilakukan secara lebih agresif dan bersungguh-sungguh bagi memperluas akses latihan TVET.

“Perluasan akses ini bukan sahaja perlu diberikan kepada kumpulan tertentu, sebaliknya hendaklah bersifat inklusif dan merangkumi komuniti Orang Asli,” katanya. -BH Online