KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mengkaji penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan gelandangan yang dijangka dibentangkan dalam tempoh dua tahun lagi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ketika ini pihaknya sedang memulakan kajian berkenaan bagi meneliti beberapa perkara dalam menangani isu gelandangan di negara ini.
Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa menjalankan kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi lain membabitkan perkara berkenaan.
“Insya-Allah mungkin dalam tempoh dua tahun lagi kita akan ada satu RUU yang kita akan bentangkan mengenai gelandangan ini.
“Ia baru mahu mula, sedang ada kajian perkara ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Santai kasih KPWKM bersama Media, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan KPWKM dalam menangani masalah gelandangan dan peminta sedekah warga asing yang semakin berleluasa di seluruh negara.
Pada Julai lalu, media melaporkan, kerajaan kini sedang merangka pendekatan baharu yang lebih praktikal dan relevan bagi menangani isu pengemis dan gelandangan.
Ia susulan beberapa peruntukan dalam Akta Orang-Orang Papa 1977 dikenal pasti tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.
Nancy dipetik berkata, gerak kerja sedang giat dijalankan ke arah penggubalan satu RUU khusus berkaitan pengemis dan gelandangan.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, operasi bersepadu turut dijalankan dengan kerjasama DBKL, polis dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan setiap agensi akan mengambil tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing bagi menangani isu itu.
Nancy dipetik berkata, gerak kerja sedang giat dijalankan ke arah penggubalan satu RUU khusus berkaitan pengemis dan gelandangan.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, operasi bersepadu turut dijalankan dengan kerjasama DBKL, polis dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan setiap agensi akan mengambil tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing bagi menangani isu itu. -BH Online
