Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong, Serkat di Pontian, Johor, pada jam 12 tengah hari ini.

Ziarah jenazah pelopor Menu Rahmah itu di kediaman ibu Allahyarham ditetapkan pada jam 7 pagi di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai.

Menurut jadual perancangan dikongsikan Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal, sembahyang jenazah akan diadakan di Masjid Jamek Datuk Haji Noh Gadot, Serkat, Pontian jam 11 pagi ini.

Tengah malam tadi, jenazah selesai dimandi dan dikafankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Van jenazah yang membawa Allahyarham Salahuddin tiba di perkarangan Masjid Al-Badar, Jalan Langgar pada pukul 12.15 tengah malam sebelum solat jenazah diimamkan Abu Bakar Shaikh Abdullah.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dijemput pulang ke negeri abadi pada usia 61 tahun.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 9.23 malam tadi ketika dalam rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Ahli Parlimen Pulai itu dimasukkan ke HSB pada 10.15 malam, 21 Julai lalu, selepas mengadu tidak sihat serta muntah-muntah.

Doktor pakar kemudian mengesahkan terdapat pendarahan di bahagian otaknya, menyebabkan beliau perlu menjalani pembedahan segera.