Sorting by

×

Penurunan inflasi di Malaysia berkemungkinan berterusan sehingga separuh kedua 2023 kerana harga dalam pasaran menyederhana, kata Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST) Geoffrey Williams.

Beliau berkata inflasi dijangka kekal rendah, mungkin antara dua dan 2.5 peratus pada separuh kedua 2023.

“Kenaikan harga telah mula bergerak perlahan merentasi hampir semua kategori terutamanya restoran dan produk makanan, kos internet dan telefon mudah alih sebenarnya sudah semakin murah.

“Ini adalah kelembapan dalam inflasi merentasi banyak sektor yang merupakan petunjuk baik bahawa harga menjadi sederhana,” katanya kepada Bernama.

Menurut Jabatan Statistik, indeks harga pengguna keseluruhan di Malaysia menunjukkan momentum menurun.

Ia berada pada 2.4 peratus pada Jun 2023, paras terendah yang dicatatkan setakat ini iatu pada 2023, berbanding 2.8 peratus pada Mei, 3.3 peratus pada April, 3.4 peratus pada Mac dan 3.7 peratus masing-masing pada Februari dan Januari.

Williams berkata angka inflasi Jun jauh lebih rendah berbanding rakan serantau dan global, merupakan berita baik kepada negara dan ia seiring dengan apa yang dijangkakan oleh konsensus sejak Januari.

Beliau berkata angka inflasi yang lebih rendah bukan sahaja menunjukkan dasar Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan berfungsi dengan baik tetapi ia juga merupakan petanda faktor global terutamanya harga minyak yang berada sekitar separuh paras sekarang berbanding tahun lepas.

“Kita akhirnya dapat melihat kesan penurunan kos minyak dan rantaian bekalan seperti yang dijangkakan,” katanya.

Beliau berkata ia memberi petunjuk bahawa tiada tindakan lanjut diperlukan melalui Kadar Dasar Semalaman (OPR) tetapi sebaliknya tumpuan boleh diberikan kepada penstabilan pertumbuhan di sebalik ekonomi global yang lebih perlahan.

“Perang harga kini bukan hanya kepada inflasi atau kenaikan harga tetapi pada paras harga dan kemampuan,” katanya.

“Sehubungan itu, inilah sebenarnya peranan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan, menggalakkan persaingan, menghapuskan monopoli dan membantu pengguna membuat pilihan yang bijak,” katanya.

Williams berkata kerajaan dicadangkan untuk menangani kerakusan, di mana syarikat menyalurkan kenaikan kos kepada pelanggan untuk melindungi keuntungan mereka sendiri.

Beliau berkata sebagai contoh, kenaikan harga makanan bulan lepas tidak akan berlaku sekarang, syarikat-syarikat yang tamak (hanya mahu mengaut keuntungan tinggi) tidak seharusnya membebankan pengguna.

Angka inflasi yang lebih rendah akan membantu menamatkan tekanan kepada BNM untuk menaikkan OPR dan mungkin tiada lagi kenaikan kadar faedah untuk sepanjang tahun ini, katanya.

Sementara itu, AmBank (M) Bhd dalam nota penyelidikan berkata peningkatan dalam inflasi keseluruhan sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan sepanjang baki tahun ini akan diterjemahkan kepada bacaan setahun penuh sebanyak 2.7 peratus, iaitu di bawah jangkaan sepanjang tahun bank itu antara tiga peratus dan 3.5 peratus.

“Mengenai inflasi teras, momentum menurun dijangka berterusan berikutan kesan daripada kenaikan kadar faedah yang dibuat oleh bank pusat.

“Oleh itu, kami tidak melihat sebarang keperluan mendesak untuk kadar faedah dinaikkan lebih tinggi dan kami mengulangi pandangan kami bahawa OPR akan berada pada tiga peratus sepanjang tahun,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada 6 Julai mengekalkan OPR pada tiga peratus.

Mesyuarat seterusnya dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 7 September 2023.