Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjelaskan bahawa penghapusan sejumlah hutang peneroka telah dilaksanakan tanpa penyaluran peruntukan geran kerajaan persekutuan. Kementerian Kewangan turut menjelaskan perkara ini.

Sebagai langkah tambahan untuk membantu dan menjamin kelangsungan Felda, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2023 menandatangani perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account bagi penerimaan geran pertama berjumlah RM990 juta untuk penebusan sukuk Felda.

“Perjanjian itu antara lain memberikan ruang kepada Felda untuk menstruktur semula komitmen kewangan terhadap kadar faedah yang dikenakan serta pemansuhan 80 peratus hutang peneroka yang berjumlah RM8.3 bilion.

Menjawab perkara sama Kementerian Kewangan pula menjelaskan bahawa penyaluran pertama RM990 juta telah dilaksanakan pada 18 Julai 2023 selaras dengan peruntukan yang telah disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023.

Felda dan Kementerian Kewangan tampil dengan kenyataan rasmi setelah Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dicabar oleh pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Mahiaddin Yassin untuk membuktikan bahawa Anwar merupakan individu yang meluluskan bantuan kewangan tersebut.

Pagi ini Anwar memuatnaik sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan.

Beliau turut meminta Mahiaddin minta maaf kepadanya kerana memfitnah.