Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JEMPOL, 26 Julai – ‎Kempen Internet Selamat terus diperkasa bagi meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai penggunaan internet secara berhemah, sekali gus memupuk semangat cintakan negara serta tanggungjawab sebagai warganegara.

‎Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, program tersebut bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme, malah memberi penekanan terhadap aspek kenegaraan dalam kalangan pelajar sempena bulan kebangsaan.

‎Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu menghimpunkan kira-kira 60 pelajar Tingkatan Enam dari sekitar kawasan Bahau, Kuala Pilah dan Jempol.

‎”Saya mengambil peluang itu untuk turut mendengar soalan-soalan dan pandangan daripada anak-anak Tingkatan Enam.

“Saya lihat rata-rata mereka mempunyai motivasi yang tinggi serta memahami pelbagai cabaran, termasuk berita palsu, isu-isu berkaitan kesihatan mental, dan media sosial.

“Ramai juga yang bertanya tentang masa depan dalam menghadapi lambakan teknologi,” katanya.

‎Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi sembang santai program Pentarama X  Kelab Malaysiaku Kempen Internet Selamat di Pejabat Daerah Penerangan Jempol.

‎Dalam sesi dialog itu, pelajar turut mengemukakan pelbagai pandangan dan persoalan berkaitan cabaran semasa termasuk penyebaran berita palsu, kesihatan mental, media sosial serta perkembangan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

‎Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JaPen atas penganjuran program yang disifatkan mampu melahirkan generasi muda yang lebih celik digital, berfikiran kritis dan menggunakan internet secara selamat serta bertanggungjawab. -Berita RTM