PAHANG, 26 Julai– Penubuhan Kolej Komuniti Jelai di Lipis bakal menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan modal insan dan ekonomi luar bandar menerusi penawaran program berteraskan agroteknologi serta teknologi pertanian lestari yang selari dengan keperluan industri semasa.
Kampus baharu yang akan dibina di Mukim Batu Yon, Jelai itu merupakan inisiatif kerajaan dalam memperluaskan akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya kepada komuniti luar bandar.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, lebih RM55 juta diperuntukkan bagi pembangunan institusi tersebut, yang dijangka membuka peluang pendidikan alternatif kepada lepasan sekolah, golongan belia dan masyarakat setempat.
“Keputusan meluluskan projek berkenaan telah dimuktamadkan di peringkat kementerian dan kerja pembangunan akan dimulakan dalam tempoh terdekat.
“Saya juga telah memaklumkan pihak POLYCC untuk memulakan kerja-kerja seterusnya, termasuk perancangan rapi pelaksanaannya, dan saya harap ia dapat dilaksanakan dalam tempoh satu hingga satu setengah tahun dari sekarang,”katanya.
Tambah beliau, selain menawarkan latihan kemahiran teknikal, kolej komuniti itu turut berperanan sebagai pusat pembangunan komuniti melalui Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), kursus keusahawanan, latihan Pertanian Pintar (Smart Farming) serta aplikasi Agro Revolusi Perindustrian Keempat (Agro 4IR).
Pendekatan tersebut dijangka mampu melahirkan tenaga kerja mahir yang berupaya mengaplikasikan teknologi moden, sekali gus meningkatkan produktiviti sektor pertanian serta taraf hidup masyarakat setempat.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi atas kelulusan projek yang telah lama dinantikan itu.
“Setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana mempercepatkan kelulusan Kolej Komuniti Jelai yang telah lama dimohon dan hari ini menjadi kenyataan melalui majlis pecah tanah,”katanya selepas Majlis Pecah Tanah Kolej Komuniti Jelai di Dataran Santuari Eco Gahai, Lipis, hari ini.
Kolej Komuniti ke-11 di Pahang itu dijangka mampu menampung sekurang-kurangnya 240 pelajar dalam bidang pertanian moden dan teknologi berkaitan.
Penubuhannya mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi serta Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam memperkukuh ekosistem TVET negara, di samping memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati masyarakat tanpa mengira lokasi geografi. -Berita RTM
