Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi mengunjurkan perbelanjaan pembangunan (DE) bagi 2027 berjumlah kira-kira RM58 bilion, dengan 70 peratus daripada keseluruhan peruntukan itu diperuntukkan untuk pembangunan asas.

Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata unjuran itu merupakan dapatan awal kementerian dalam merancang pembangunan negara bagi tahun depan sebelum cadangan berkenaan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF).

“Kepimpinan tertinggi Kementerian Ekonomi akan memuktamadkan perancangan pembangunan bagi 2027 sebelum mengemukakannya kepada MOF,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian itu di sini, hari ini.

Katanya, peruntukan terbabit bertujuan memastikan kesinambungan projek pembangunan, mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan mempercepat fizikal negara.

Beliau berkata, kerajaan mengekalkan formula dalaman supaya 70 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan diperuntukkan kepada pembangunan asas selain memastikan penyampaian perkhidmatan dan kerja-kerja pembangunan sedia ada dapat diteruskan.

Sebelum ini, peruntukan untuk projek DE asas pada 2026 meningkat kepada RM57.6 bilion atau 71 peratus daripada RM55.67 bilion atau 65 peratus pada 2025.

Akmal Nasrullah berkata, MOF akan membuat penilaian keseluruhan bagi Belanjawan 2027.

Mengenai kemungkinan penanda aras harga minyak global digunakan dalam Belanjawan 2027, beliau berkata perkara itu berada di bawah bidang kuasa MOF.

“Harga minyak adalah antara faktor yang perlu diambil kira dan penilaian itu dibuat pada peringkat Kementerian Kewangan.

“Pada peringkat kami, tumpuan adalah terhadap perbelanjaan pembangunan manakala penilaian untuk mengimbangi keperluan fiskal termasuk unjuran harga minyak bagi tahun depan akan ditentukan oleh MOF,” katanya.

Beliau berkata, walaupun anggaran pertumbuhan ekonomi bagi suku kedua 2026 adalah 5.8 peratus, menjadikan pertumbuhan separuh pertama tahun ini sebanyak 5.6 peratus, kerajaan perlu terus berwaspada berikutan negara masih belum keluar daripada krisis global sepenuhnya.

Katanya, pertumbuhan itu melebihi unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2026, namun asas pertumbuhan yang tinggi pada separuh pertama tahun ini akan memberi tekanan untuk mengekalkan prestasi yang sama pada suku ketiga dan suku keempat.

Akmal Nasrullah berkata, faktor lain seperti El Nino juga perlu diambil kira yang boleh menjejaskan aktiviti ekonomi.

Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2026 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.-BERNAMA