KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa kerajaan negeri menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi orang Islam kepada 18 tahun.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata beliau berharap lebih banyak negeri akan mengikut langkah Selangor dan Kedah yang sudah meminda undang-undang berkaitan bagi membolehkan penyelarasan dilaksanakan di seluruh negara.
“Dua negeri sudah meminda undang-undang mereka. Kita berharap semua negeri akan mengambil tindakan sama supaya perkara ini dapat diselaraskan dan diharmonikan di seluruh negara kerana urusan perkahwinan orang Islam terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya selepas merasmikan pejabat Tribunal Anti Gangguan Seksual (TAGS) dan melancarkan sistem e-TAGS di sini, hari ini.
Nancy berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan membincangkan perkara itu secara mendalam, keputusan akhir tetap terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.
“Kita hanya boleh menyuarakan kebimbangan dan berbincang dengan kerajaan negeri, tetapi bukan kita yang membuat keputusan.
“Ia bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, jadi terpulang kepada kerajaan negeri untuk merealisasikannya,” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa pelaksanaan had umur minimum perkahwinan orang Islam pada usia 18 tahun di seluruh negara, sambil mengekalkan mekanisme kehakiman yang membolehkan remaja berusia 16 dan 17 tahun memohon kebenaran untuk berkahwin.
Cadangan pembaharuan itu bertujuan melindungi hak kanak-kanak, selain memastikan akses mereka kepada pendidikan dan kesihatan terus terjamin.-BH Online
