KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) berpotensi untuk berada dalam kelompok 50 universiti terbaik dunia pada masa hadapan, dipacu oleh idea kreatif serta inovatif warga akademiknya.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kedudukan UM yang kini pada tangga ke-58 dunia adalah satu pencapaian yang membanggakan, namun sasaran yang lebih tinggi perlu diletakkan selaras dengan keupayaan institusi berkenaan.
Beliau berkata setiap fasa kemajuan, perubahan dan kebangkitan sesebuah peradaban dalam sejarah manusia tidak pernah bermula dengan faktor sumber semata-mata, sebaliknya bertitik tolak daripada sebuah idea.
“Empayar masa hadapan adalah empayar pemikiran atau dalam erti kata lain, empayar idea. Kita dapat menyaksikan bagaimana berlakunya satu perubahan besar dalam dunia pendidikan dan kemajuan sejagat yang beralih dari Jerman, kemudian ke Amerika Syarikat dan kini beralih ke China.
“Perubahan besar ini berlaku menerusi penemuan serta inovasi baharu yang lahir daripada universiti ternama mereka, sehingga menjadikan China jauh ke hadapan dari segi kemajuan teknologi.
“Dalam konteks Malaysia, kita juga tidak ketinggalan kerana mempunyai universiti yang baik dan terkenal. UM kini berada di kedudukan ke-58 dunia dan tidak mustahil kita mampu berada dalam kelompok 50 terbaik di dunia. Ayuh kita berusaha ke arah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Universiti Malaya Ideas Festival 2026 (UM iFest 2026) bertemakan ‘Unleashing Ideas, Igniting Change’ di Dewan Tunku Canselor, UM, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Zarinah Anwar, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan dan Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman.
Mengulas mengenai penganjuran UM iFest 2026, Zambry menyifatkan ia sebagai platform signifikan dan bertindak sebagai pengenalan kepada Festival of Ideas peringkat kebangsaan yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kelak.
Beliau turut memuji komitmen universiti itu yang berjaya membudayakan kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pembangunan bakat mahasiswa secara holistik, selain kagum dengan kreativiti pasukan mahasiswa yang mengendalikan keseluruhan persiapan festival berkenaan.
Sementara itu, Noor Azuan berkata, penganjuran festival pada tahun ini amat signifikan memandangkan UM sedang menyambut ulang tahun ke-121.
Sebagai sebuah universiti keramat, UM terus berdiri megah sebagai lambang keilmuan negara yang mana sejarahnya telah menyaksikan enam daripada sepuluh Perdana Menteri Malaysia adalah alumni universiti berkenaan.
Beliau menjelaskan, fungsi universiti kini tidak lagi sekadar menjadi tempat menimba ilmu, tetapi telah berubah sebagai wadah penting untuk mencipta masa depan dan bertindak sebagai pencetus perubahan masyarakat.
“Kita perlu menjadi pembina penyelesaian dan peneraju kepada idea-idea baharu yang mampu memberikan manfaat kepada komuniti. Atas semangat inilah, UM mengambil cakna untuk memastikan pelaksanaan UM iFest 2026 ini dijayakan secara bersungguh-sungguh.
“Festival ini bukan sekadar himpunan program akademik atau pameran penyelidikan semata-mata, tetapi ia adalah satu perayaan ilmu serta pentas yang menemukan idea, bakat dan peluang dalam satu ekosistem yang saling melengkapi,” katanya.
Tambah Noor Azuan, UM iFest 2026 berjaya menghimpunkan seramai 2,800 penyelidik dalam kalangan pelajar tahun akhir (undergraduate) yang mempamerkan hasil projek mereka kepada pihak industri sepenuhnya dalam bentuk digital.
Festival berkenaan turut menarik penyertaan lebih 1,000 penyelidik serta delegasi antarabangsa yang mewakili 90 negara, di samping pembabitan strategik bersama 200 rakan industri.-BH Online
