PUTRAJAYA: Ruang ‘rundingan’ antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masih wujud bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ruang rundingan itu belum tertutup walaupun PH sebelum ini memaklumkan mahu bergerak solo.
“Kita bersedia menghadapi pilihan raya di Negeri Sembilan ini, biarpun itu adalah keputusan daripada pentadbiran kerajaan negeri di Negeri Sembilan melalui parti-parti komponen dalam PH.
“Tentunya kita sangat terbuka, bukan sahaja untuk terus mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan. Namun tentunya terlalu awal untuk kita tidak mengadakan perundingan bagi menentukan bahawa Kerajaan Perpaduan akan dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ‘Walkabout’ Karnival Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Beliau dilaporkan berkata, pembubaran itu dibuat selepas beliau mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada majlis menghadap yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, semalam.
Pembahagian kerusi sudah diselesaikan dengan PH akan bertanding semua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.
Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada PRN selepas Johor yang berbuat demikian pada Isnin lalu.-BH Online
