PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa membuka pintu perbincangan untuk terus menyokong sukan permotoran dua roda negara termasuk pelumba Moto3 yang sedang meningkat naik, Hakim Danish Ramli di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, bagi tahun ini KBS bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) memperuntukkan RM1.8 juta bagi program pembangunan sukan permotoran dua roda serta penyertaan dalam kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Taufiq begitupun berkata, kementerian sentiasa terbuka untuk terus berbincang dengan semua pihak berhubung bentuk sokongan yang boleh disalurkan kepada atlet berpotensi tinggi negara, termasuk dalam sukan permotoran.
“Kita sentiasa terbuka kepada perbincangan semua pihak. Memang perbincangan itu tetap berjalan kerana kita perlu lihat yang kita ada dana kawasan (KWASN). Namun kita juga ada beberapa temasya lain yang perlu kita fokuskan dan itu paling penting sekali.
“Sokongan dari aspek yang lain itu sentiasa Kementerian Belia dan Sukan berikan dan (ia) terbuka kepada SIC. Kita sentiasa menyalurkan sumbangan dari aspek lain. –
“Tapi apa pun, sudah pasti perbincangan itu tetap akan berlaku dan kita akan cuba sedaya upaya untuk memberikan sokongan, dokongan dan dorongan bukan sahaja semata-mata Hakim Danish tetapi secara keseluruhannya.
“Ini kerana kita nak lihat, ini adalah sukan-sukan yang mampu ataupun memberikan potensi yang besar sebenarnya untuk negara. Jadi kita ingin melihat potensi-potensi itu dan kita akan menilai kesesuaian saluran dana dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan Delivery Hero Malaysia Sdn Bhd (Foodpanda Malaysia), Myteksi Sdn Bhd (Grab Malaysia) dan Gamuda Land Leisure Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, mengesahkan tiada peruntukan kewangan disalurkan secara terus kepada pasukan ZK Racing bagi membantu kempen Hakim Danish dalam Kejuaraan Motosikal Dunia 2026.
Selang beberapa hari selepas itu, Taufiq memaklumkan KBS bersama SIC akan meneruskan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi meneliti mekanisme sokongan yang bersesuaian untuk atlet berpotensi tinggi negara termasuk dalam sukan permotoran.
Sebagai rekod, KBS melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) menyalurkan RM3 juta kepada SIC tahun lalu bagi melaksanakan Program Pembangunan Sukan Permotoran Berprestasi Tinggi yang turut membabitkan Hakim Danish, Qabil Irfan Azlan, Sharf Muhriz dan Adam Danial.
Selain itu, peruntukan tambahan RM1 juta turut diluluskan bagi membantu penyertaan Hakim Danish dalam Kejuaraan Dunia JuniorGP 2025 yang menjadi antara platform pembangunan penting sebelum melangkah ke pentas Kejuaraan Dunia MotoGP.
Bagaimanapun, permohonan dana KWASN bagi 2026 akan memberi keutamaan kepada sukan yang dipertandingkan dalam temasya utama seperti Sukan Asia dan Para Asia, Sukan Komanwel 2026 serta Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 yang menyaksikan Malaysia bertindak sebagai tuan rumah.-BH Online
