Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap cadangan Washington untuk mengenakan duti tambahan sebanyak 10 peratus ke atas import dari Malaysia sementara menanti hasil siasatan dan proses rundingan yang masih berjalan di Amerika Syarikat (AS).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata masih terlalu awal untuk menilai implikasi cadangan tarif berkenaan memandangkan proses semakan belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, siasatan serta tempoh perundingan dan maklum balas awam di AS masih berlangsung ketika ini.

“Saya fikir ia masih di peringkat awal. Siasatan masih berjalan dan tempoh perundingan serta ulasan juga masih berlangsung.

“Jadi, kita akan memantau dan melihat apa yang berlaku selepas proses-proses ini selesai,” katanya kepada media di luar Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata, adalah penting bagi Malaysia memahami asas kepada tindakan yang dicadangkan itu serta pertimbangan yang digunakan oleh AS dalam membuat keputusan berkenaan.

“Saya fikir adalah penting untuk kita memahami asas dan bagaimana AS membuat keputusan itu,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan bahawa kadar tarif yang dicadangkan itu bukan keputusan muktamad dan masih tertakluk kepada proses perundingan awam di AS.

Menurut kementerian itu, kadar tarif yang dicadangkan ke atas Malaysia adalah yang terendah dalam kalangan negara yang disiasat, sekali gus mencerminkan pengiktirafan Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) terhadap komitmen negara di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas.

MITI berkata, pengiktirafan itu mengambil kira langkah Malaysia untuk memperkenalkan larangan terhadap import yang dikaitkan dengan buruh paksa.

Kementerian itu turut menjelaskan, dapatan USTR berkaitan ketiadaan undang-undang khusus yang melarang kemasukan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa ke Malaysia, bukannya penemuan bahawa Malaysia mengamalkan buruh paksa.

Menurut MITI, Malaysia mempunyai rangka kerja perundangan yang komprehensif bagi menangani isu buruh paksa termasuk undang-undang berkaitan pemerdagangan manusia, standard pekerjaan dan kebajikan pekerja.

Pada masa sama, kementerian itu akan terus berunding dengan pihak berkuasa AS bagi melindungi kepentingan perdagangan negara.

Selasa lalu, USTR bercadang mengenakan duti tambahan sebanyak 10 peratus ke atas import dari 15 ekonomi termasuk Malaysia susulan siasatan Seksyen 301 berkaitan perdagangan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

USTR memaklumkan, kegagalan ekonomi yang terbabit menangani isu import berkaitan buruh paksa secara mencukupi dianggap tidak munasabah dan menyekat perdagangan AS.

Selain Malaysia, ekonomi lain yang turut berdepan cadangan duti tambahan 10 peratus ialah Kanada, Kesatuan Eropah, Indonesia, Mexico, Pakistan, Bangladesh, Kemboja, Taiwan dan United Kingdom, manakala baki 45 ekonomi yang disiasat dicadangkan dikenakan duti sebanyak 12.5 peratus.

USTR akan menerima ulasan awam berhubung cadangan itu sehingga 6 Julai ini, sebelum mengadakan pendengaran awam pada 7 Julai bagi membuat penentuan muktamad.

Beberapa produk pula dikecualikan daripada cadangan tarif berkenaan termasuk produk tenaga, bahan nadir bumi, logam tertentu, farmaseutikal, bahan kimia organik dan alat ganti pesawat.-BH Online