Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, keutamaan kerajaan ketika ini ialah menyempurnakan tugas serta merealisasikan agenda yang ditetapkan berbanding melihat keperluan mengadakan pilihan raya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau bercadang membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 diadakan dalam tempoh terdekat, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Isnin lalu.

Menurut Perdana Menteri, keputusan untuk membubarkan DUN adalah hak dan atas pertimbangan kerajaan negeri masing-masing.

“Ia adalah keputusan mereka. Kami (kerajaan) mempunyai keutamaan kami. Kami fokus pada kerja kami (mentadbir negara),” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.

Anwar berkata keutamaan Kerajaan Persekutuan kini kekal tertumpu kepada pelaksanaan tanggungjawab serta merealisasikan agenda yang ditetapkan sebelum ini.

“Saya memberi tumpuan kepada tugas saya. Masalahnya, ada sesetengah pihak yang tidak memikirkan perkara ini. Kita sepatutnya fokus kepada kerja,” katanya.

Isnin lalu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa semalam, sekali gus memberi laluan kepada PRN ke-16.

Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan PRN.

Pada PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi. Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, sementara Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh satu kerusi.-BH Online