KUALA LUMPUR: Permohonan pengekalan kuota 300 liter BUDI MADANI RON95 (BUDI95) untuk pengamal media akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Selasa depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, permohonan yang disuarakan oleh Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) itu bakal diputuskan oleh MTEN dan maklum balas akan diberikan kemudian.
“Saya akan bawa ke mesyuarat MTEN pada Selasa nanti bagi mendapatkan pertimbangan lanjut berhubung permohonan berkenaan,” katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM) di Pantai Dalam, di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, GKMM memohon kerajaan mempertimbangkan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar supaya mengekalkan kuota 300 liter petrol RON95 sebulan.
Menurut GKMM, pihaknya menerima banyak keluhan daripada pengamal media khususnya di negeri-negeri yang perlu melakukan perjalanan jauh serta berulang-alik ke lokasi liputan setiap hari.
Tambahnya, keputusan kerajaan mengehadkan kuota BUDI95 kepada 200 liter sebulan ketika ini mula memberi cabaran besar kepada pengamal media dalam menyempurnakan tugasan di lapangan khususnya yang jauh dari pejabat masing-masing.
Sementara itu, Fahmi turut memaklumkan Kementerian Komunikasi juga mengambil langkah proaktif bagi memudahkan pengamal media mendapatkan maklumat berkaitan isu semasa termasuk krisis tenaga global.
“Bermula Rabu minggu hadapan, sesi taklimat berkaitan krisis tenaga global dan sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri akan dilaksanakan secara hibrid.
“Ini bagi membolehkan wartawan sama ada bertugas di Putrajaya hadir secara fizikal atau yang berada di Kuala Lumpur mengikuti secara dalam talian serta mengemukakan soalan,” katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, inisiatif itu diambil bagi memastikan akses maklumat lebih menyeluruh selain mengambil kira kekangan logistik dan kos yang dihadapi pengamal media ketika ini.
“Sebagai Jurucakap Kerajaan MADANI, saya melihat keperluan untuk mempermudah rakan media mendapatkan maklumat secara terus tanpa mengira lokasi,” katanya.-BH Online
