KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyediakan aplikasi Info Jualan Rahmah Madani (PJRN) bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini mengenai lokasi penganjuran Program Jualan Rahmah Madani di seluruh negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, tujuan aplikasi itu dibangunkan pada bulan lalu adalah untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat maklumat dengan cepat dan tepat mengenai Jualan Rahmah Madani.
Katanya, aplikasi berkenaan boleh dimuat turun melalui platform Google Play Store dan App Store, sekali gus memudahkan pengguna mencari lokasi Jualan Rahmah yang sedang berlangsung sehingga radius 30 kilometer dari kawasan mereka dengan hanya memilih negeri dan daerah yang diperlukan.
“Inisiatif digital ini dibangunkan bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses maklumat dengan cepat dan tepat, berbanding sebelum ini yang kebanyakannya bergantung kepada hebahan di media sosial seperti Facebook KPDN.
“Dengan adanya aplikasi ini, orang ramai boleh mengetahui lokasi jualan walau di mana sahaja mereka berada dengan lebih cepat dan mudah kerana ia turut menyediakan fungsi carian mengikut negeri dan daerah, sekali gus membantu pengguna mengetahui lokasi tepat, tarikh serta maklumat berkaitan program jualan yang dianjurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Sentuhan Kasih Dan Jualan Rahmah Madani di Dewan Serbaguna PPR Kota Bharu, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, penganjuran Program Jualan Rahmah di negeri Kelantan turut diperkukuh melalui kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Peladang.
“Kerjasama ini dilihat sebagai satu nilai tambah yang signifikan kerana LKIM membekalkan barangan basah seperti hasil laut yang kebiasaannya tidak terdapat dalam Jualan Rahmah sebelum ini.
“Selain itu, penyertaan Agro Madani melalui Persatuan Peladang turut memperluaskan pilihan barangan kepada pengguna, sekali gus menjadikan program ini lebih komprehensif dan memberi nilai berganda kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 7,320 siri Program Jualan Rahmah Madani berjaya dilaksanakan di seluruh negara dengan 496 daripadanya diadakan di Kelantan.
“Secara purata, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menganjurkan Jualan Rahmah Madani tiga kali sebulan.
“Kami di pihak kerajaan berharap agar inisiatif berterusan ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini,” katanya.-BH Online
