KOTA BHARU: Kapal Malaysia antara yang terawal diberi laluan di Selat Hormuz dengan kapal tangki minyak mentah Ocean Thunder selamat tiba di Terminal Pengerang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata rundingan awal dengan Presiden Iran membolehkan kapal Malaysia terlepas.
“Sekarang ini masih mencari penyelesaian di antara tekanan Amerika Syarikat untuk menguasai rantau itu, tekanan Iran yang mempertahankan hak mereka dan tuntutan Eropah yang dirunding malam tadi mengenai masa depan Selat Hormuz.
“Tetapi bersyukur kerana kita berhubung awal dengan Presiden Iran, membolehkan kapal kita terlepas.
“Masih ada kapal kita yang tersekat atau rosak, tetapi kita harap dapat diselesaikan. Masalah ini dihadapi semua,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, harga bahan api itu juga meningkat susulan harga insurans meningkat 150 peratus.
“Ada orang tanya, kalau minyak dah terlepas dari Selat Hormuz, mengapa harganya mahal? jawapan saya ini kerana harga insuran meningkat 150 peratus dan harga pengangkutan juga meningkat kerana risiko,” katanya.-BH Online
