Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bukan lagi pilihan kedua dalam kalangan pelajar di negara ini untuk melanjutkan pengajian, kataTimbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata landskap pendidikan sudah berubah dengan ketara apabila TVET kini berada dalam arus perdana dan menjadi pilihan utama bagi memastikan masa depan anak-anak lebih terjamin.

Katanya, perubahan itu dapat dilihat menerusi peningkatan mendadak permohonan ke kolej vokasional sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pada 2022, kita menerima seramai 28,098 permohonan, namun pada tahun 2026, jumlah itu meningkat dengan signifikan kepada 58,263,” katanya pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke-10 di sini, hari ini.

Seramai 874 graduan yang mengikuti 15 program diploma di enam Kolej Vokasional di Sarawak menerima sijil masing-masing pada majlis itu.

Fadillah berkata jumlah itu jauh melebihi kapasiti pengambilan yang hanya mampu menampung seramai 17,912 pelajar bagi tempoh sama.

“Situasi itu membuktikan bahawa TVET bukan lagi sekadar alternatif, sebaliknya satu pilihan bijak untuk melahirkan tenaga profesional yang memenuhi keperluan industri.

“Perkembangan itu selari dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 yang menyasarkan TVET sebagai laluan utama dalam pembinaan kerjaya,” katanya.

Fadillah berkata masyarakat kini semakin menyedari TVET adalah nadi utama dalam pembangunan tenaga kerja negara.

Katanya, penekanan kini bukan lagi sekadar kepada sijil, tetapi kepada kecekapan teknikal dan kepakaran digital yang mampu meningkatkan nilai ekonomi.

“Dengan pendedahan praktikal yang mendalam, graduan TVET kini tampil sebagai tenaga kerja kompeten dan versatil yang menjadi pemacu industri,” katanya.-BH Online