Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan mengumumkan sumbangan RM400,000 kepada Maktab Mahmud di sini, bagi melaksanakan pelbagai program pendidikan Islam dalam kalangan pelajarnya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata daripada keseluruhan sumbangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbang RM300,000 melalui Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan bakinya dari Kementerian Pendidikan (KPM).

Jelasnya, sumbangan itu bagi digunakan pihak pengurusan Maktab Mahmud untuk mengekalkan pencapaian cemerlang pelajarnya seperti ditunjukkan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan Khamis lalu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Kedah kerana mencapai keputusan cukup baik dalam peperiksaan SPM yang diumumkan dan sebahagian sekolah di negara ini yang mencapai keputusan cemerlang adalah dari Kedah.

“Saya ambil maklum pelajar Maktab Mahmud juga sentiasa menjadi antara penyumbang Gred Purata Negeri yang sangat baik, jadi diharapkan anak-anak kita dapat meneruskan kecemerlangan mereka,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Rumah Maahad Alumni Maktab Mahmud.

Hadir sama EXCO Pendidikan negeri, Datuk Mohd Azam Abd Samat dan Pengerusi Persatuan Alumni Maktab Mahmud, Datuk Dr Zulkifly Mohamad.

Fadhlina berkata, Perdana Menteri mempunyai pengalaman tersendiri apabila pernah melakukan lawatan ke Maktab Mahmud kira-kira 40 tahun lalu.

Disebabkan itu, Maktab Mahmud perlu terus memainkan peranan dalam melahirkan lebih ramai pelajar dalam bidang pendidikan Islam, sekali gus ulama di negara ini.

“Perdana Menteri cukup sentimental dengan Maktab Mahmud, ketika saya maklumkan ada permohonan dari sekolah ini, beliau sendiri mahu hadir…. tapi apabila tidak dapat hadir, maka saya datang untuk sampaikan mesej sepatutnya.

“Saya minta Maktab Mahmud terus mengekalkan peranan melahirkan lebih ramai ulama yang menjadi antara hala tuju Bahagian Pendidikan Islam, KPM,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan kerajaan diterajui Perdana Menteri tidak pernah meminggirkan bidang pendidikan Islam, malah sentiasa mengutamakannya selaras hala tuju Pendidikan Negara.

“Sumbangan diberikan ini untuk membuktikan Kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan mana-mana sekolah, kita komited dalam melaksanakan semua agenda pendidikan dan pembangunan Islam.

“Saya ucapkan tahniah kepada Maktab Mahmud dan alumninya yang saya fikir terkuat di sebuah sekolah yang begitu berprestij dan mempunyai nama cukup baik dalam melaksanakan pelbagai program dan meningkatkan kualiti pendidikan,” katanya.-BH Online