Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BAGAN DATUK: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) disaran berusaha mempelbagaikan produk hiliran berasaskan getah sebagai langkah jangka panjang untuk menstabilkan harga komoditi itu dalam pasaran tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha itu penting bagi memastikan pekebun kecil tidak hanya bergantung kepada pengumuman kerajaan untuk mengawal harga, sebaliknya mewujudkan permintaan berterusan terhadap produk berasaskan getah.

“Sebenarnya, getah sekerap boleh menghasilkan produk seperti bahan api bio yang menyerupai diesel dan petrol. Produk ini mendapat pengiktirafan badan piawaian dan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.

“Jika akhirnya berjaya dikomersialkan, permintaan terhadap bahan api bio akan meningkatkan harga getah sekerap,” katanya selepas merasmikan majlis Karnival RISDA MADANI (KARRISMA) Zon Utara Tahun 2025 di Dewan Dato’ Mohamed Jamrah, Sungai Sumun, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib dan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.

Karnival KARRISMA adalah inisiatif RISDA di bawah Aspirasi Desa MADANI yang dicetuskan Ahmad Zahid, bagi memperkukuhkan ekosistem pembangunan komuniti pekebun kecil getah di seluruh negara.

KARRISMA Zon Utara ini menampilkan konsep jualan produk usahawan bimbingan RISDA, selain memperkenalkan kedai konsep RisSMart Grocer, sebuah platform pemasaran strategik yang menghimpunkan variasi produk termasuk daripada entiti RisSMart 24 dan RisSMart Butchery.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, selain bahan api bio, kayu getah matang juga berpotensi dikembangkan untuk industri pembuatan perabot berkualiti.

“Saya sudah mengarahkan supaya 40,000 hektar tanaman semula getah dilakukan setiap tahun, tetapi kayu getah ini mesti dirawat terlebih dulu supaya harganya mahal dan pada masa sama, daya tahan lebih lama dan ini sesuai dengan permintaan pasaran perabot di luar negara.

“Di Muar ada zon industri perabot dan mengikut laporan, nilai eksport perabot melebihi RM85 bilion dan lebih 70 peratus bahan ini datang daripada kayu getah. 

“Kita meminta RISDA mencari benih pokok getah yang dapat menghasilkan kayu balak getah bersesuaian dengan industri perabot,” katanya.

Ahmad Zahid optimis, langkah itu bukan saja dapat menambah pendapatan RISDA, malah membolehkan agihan dividen kepada pekebun kecil hasil penjualan kayu getah dirawat, tanpa bergantung semata-mata kepada bantuan kerajaan. – BERNAMA